Thursday 12 January 2012

KAMPUNG AMBO


1.0   Pengenalan
Ekologi ialah kajian tentang hubungan antara organisma hidup dengan alam persekitaranya. Semua hidupan terpaksa saling bergantung sesama sendiri dan perlu bergantung kepada persekitarannya dalam komuniti masing-masing atau dengan komuniti lain. Istilah ekologi diperkenalkan oleh Enerst Haeckel (ahli biologi Jerman) pada 1869. Ekologi berasal daripada bahasa Yunani iaitu ‘oikos’ - rumah dan ‘logos’ – ilmu, yang  membawa pengertian ilmu tentang rumah (tempat tinggal) dan makhluk hidup.

Antara sifat semulajadi sesebuah ekosistem ialah mempunyai keupayaan pemulihan kendiri (self regulation) untuk sentiasa mencapai tahap kesimbangan. Keseimbangan ekosistem penting untuk kestabilan yang berkekalan. Sebuah ekosistem yang tidak seimbang akan menimbulkan masalah, contohnya ekosistem sungai yang mengalami gangguan akan menyebabkan banjir atau kemarau. Keseimbangan yang ingin dicapai dalam ekosistem ialah “keseimbangan dinamik” iaitu keseimbangan yang sentiasa berubah-ubah mengikut gangguan yang berlaku dalam sesebuah ekosistem,contohnya dalam ekosistem hutan, banjir dan kemarau mempengaruhi populasi pengeluar dan pengguna. Keseimbangan sesebuah ekosistem dicapai apabila  tenaga yang masuk ke dalam ekosistem tersebut sama dengan  tenaga yang keluar atau bahan yang keluar dari ekosistem tersebut. Mengikut teori ekosistem terdapat kecenderungan bagi sesebuah ekosistem berkembang ke arah suatu keadaan yang stabil dan mantap supaya menjadi sebuah ekosistem yang matang. Proses menuju ke arah kestabilan dan kemantapan ini dinamakan sebagai sesaran. Apabila keadaan stabil dicapai maka tenaga dan bahan yang ada di dalam sebuah ekosistem digunakan dengan cekap dan optimum.  

Kegiatan manusia dan bencana alam  menyebabkan perubahan sesuatu ekosistem. Bencana alam, seperti letusan gunung berapi dan gempa bumi merupakan suatu yang berada di luar jangkaan manusia. Namun kegiatan manusia, seperti tindakan pencemaran dan eksploitasi yang berlebihan terhadap sumber daya alam, secara langsung atau tidak langsung akan mengakibatkan terjadinya perubahan ekosistem. Kerosakkan terhadap habitat suatu ekosistem ini akan secara langsung mengubah ekosistem pada habitat tersebut. Kajian perubahan ekologi yang dijalankan iaitu di  Kampung Jejawi, Pasir Mas, Kelantan Darul Naim. Kampung ini diberi nama sempena pokok yang berada dikawasan itu iaitu pokok Jawi.

2.0 Lokasi Kajian
Kajian yang telah dijalankan adalah berkaitan dengan gangguan ekologi yang berlaku di kampung Jejawi, daerah Pasir Mas, Kelantan. Kampung Jejawi  merupakan kawasan yang mengamalkan aktiviti ekonomi seperti menanan padi, menoreh getah, bercucuk tanam dan  sebagainya. Namun aktiviti penanaman padi dan menorah getah merupakan ekonomi utama di kawasan ini. Ia terletak di dalam daerah Pasir Mas, dan ia berada diantara jalan Pasir Mas dengan Rantau Panjang. Kawasan tanah yang sesuai untuk pertanian padi kerana mempunyai tanah alluvium yang sesuai untuk aktiviti pertanian.

LOKASI KAJIAN KAMPUNG JEJAWI


Rajah 1 : Peta Kg Jejawi, Pasir Mas




3.0  Perbezaan perubahan ekologi dahulu dan kini.
Sekiranya kita lihat secara geografi kampung Jejawi, dahulunya mempunyai keluasan tanah hutan dan  juga tanah sawah yang luas. Penduduk kampung ini menjalankan aktiviti utama mereka ialah  menanam padi huma sekitar tahun 1942-an. Selepas itu mereka telah mencuba benih padi yang boleh ditanam dua kali setahun contohnya MR 84, 77, 219, dan sebagainya yang dikeluarkan oleh MARDI. Penduduk di kampung ini telah mengubah ekologi kawasan daripada kawasan pertanian padi kepada kawasan penanaman getah. Penduduk disini telah menanam getah kerana hasil getah yang tinggi berbanding dengan hasil padi. Sekiranya kita lihat, zaman dahulu penduduk kampung ini hidup mengunakan sumber hutan, tetapi hari ini kawasan ini telah berubah disebabkan manusia ingin mendapat hasil daripada tanah hutan ini iaitu dengan menanam getah, sedangkan banyak hasil hutan yang boleh penduduk di kawasan ini mendapatkannya, antaranya rotan terutama dari jenis sentawa, yang terdapat di kawasan kampung Jejawi ini. Menurut Mohd Nor, salah seorang penduduk di kampung Jejawi, memberitahu saya bahawa tapak rumah mereka asalnya daripada kawasan pusu atau busut dan juga adanya pokok buluh. Mereka mengatakan bahawa di busut itu terdapatnya cendawan yang tumbuh, apabila rumah didirikan diatas busut itu ini menyebabkan kepupusan flora iaitu sepsis cendawan dan ini menyebabkan ekosistem terganggu. Kampung Jejawi juga berdekatan dengan sungai, hal ini menyebabkan  air sungai yang tidak dapat ditampung oleh sungai melimpah  keluar dan akan  berlakunya banjir tidak kira semasa musim tengkujuh atau bila- bila masa sahaja, hal ini berlaku sejak dahulu hingga sekarang, dan menyebabkan banyak haiwan dan tumbuhan akan mati.Hal ini menyebabkan ekologi manusia dan persekitan terganggu. Apabila kita melihat lokasi kampung Jejawi pada masa dahulu asalnya kawasan hutan , dan juga sawah padi, hari ini kita dapat lihat kawasan ini menjadi kawasan penanaman getah dan juga kawasan dusun atau kawasan petempatan penduduk mula bertambah disebabkan anak mereka membuat petempatan baru dikampung ini. Antara salah satu faktor yang menyebabkan perubahan ekologi ini berlaku adalah disebabkan oleh aktiviti manusia, namun ada juga faktor semulajadi iaitu fenomena kebakaran, fenomena ini berlaku akibat cuaca panas yang keterlaluan dan kurang hujan turun di sesuatu kawasan.         

4.0 Gangguan Terhadap Flora dan Fauna
Selain itu, aktiviti manusia merupakan faktor utama menyebabkan habitat terancam dan perubahan ekologi berlaku misalnya melalui penebangan hutan tanpa kawalan, Lazimnya amalan ini dilakukan untuk tujuan pembangunan seperti membuat petempatan baru dan sebagainya. Kaedah tebang bersih atau pembalakan haram ini boleh menyebabkan kemusnahan spesis flora dan fauna secara besar-besaran. Selain itu, kemusnahan rantaian makanan akan turut terancam, kehilangan habitat dan seterusnya menjejaskan ciri ekologi. Ini merupakan salah satu kemusnahan habitat terutamanya haiwan seperti tupai, burung  yang tidak mempunyai habitatnya yang asal, begitu juga dengan haiwan-haiwan yang liar yang lain. Akibat aktiviti ini, hutan semulajadi perlu mengambil masa yang lama untuk membaik pulih menjadi hutan sekunder. Perkara diatas merupakan salah satu faktor yang menjadi penyebab utama kemusnahan habitat terutama di kawasan kampung Jejawi. Pada masa yang sama aktiviti pembalakan yang melibatkan kerja-kerja penebangan pokok bertujuan untuk membina laluan atau jalan pengangkutan bagi mengangkut keluar pokok kelapa sawit.dan juga hasil penoreh getah ini menyebababkan perubahan ekosistem dikawasan kampung ini. Selain itu sekarang ini banyak kawasan di kampung saya telah berubah arah iaiatu aktiviti ekonomi mereka ialah mereka telah bertukar daripada padi kepada menanam getah. Sesetengah tanah sawah ditukar kepada penanaman getah kerana getah mempunyai pasaran yang tinggi sekarang ini. Hal in menyebabkan spesis yang berada dikawasan tanah sawah akan mengalami gangguan ekologi dan mereka akan berhijrah mencari tempat lain untuk mengekalkan ekosistem mereka, contohnya spesis yang ada dikawasan tanah sawah seperti ikan puyu sawah, belut, tikus dan sebagainya.
                                                   
Selain daripada itu di kampung saya juga mempunyai kawasan sawah padi, melalui pemerhatian terhadap ekosistem sawah di kampung saya, saya dapati beberapa gangguan ekologi akibat daripada kegiatan manusia itu sendiri. Hal ini kerana aktiviti manusia secara tidak terkawal terhadap kawasan tersebut telah menyebabkan kawasan sawah tercemar daripada sisa pertanian seperti penggunaan racum kimia secara berlebihan dan juga penggunaan baja yang memberi impak terhadap kawasan persekitarannya. Kawasan sawah padi mengalami gangguan ekologi kerana manusia menggunakan baja atau racun untuk meningkatkan mutu padi dan juga ingin menghalau serangga perosak. Hal ini menyebabkan baja kimia akan masuk ke dalam kawasan  tali air bersama-sama dengan air hujan. Apabila baja kimia  masuk ke dalam tali ini menyebabkan  hidupan akuatik akan mengalami gangguan dari segi nilai ph air. Hidupan akuatik yang berada dalam tali air itu akan mati atau dijangkiti penyakit. Apabila manusia makan ikan yang berada dalam tali air ini, hal ini akan menyebabkan kesan buruk terhadap kesihatan manusia seperti barah dan sebagainya. Penggurangan ikan kecil yang berada dalam tali air, kerana mati akibat daripada baja kimia dan juga racun perosak ini mengurangkan sumber makanan kepada ikan besar dan keadaan ini boleh memberi gangguan terhadap ekologi di kawasan tersebut. Seterusnya, melalui aktiviti pembajakkan tanah juga menyebabkan kawasan perlindungan hidupan akuatik seperti ikan turut musnah. Hal ini kerana kebanyakkan ikan sawah habitatnya ialah dalam tanah seperti di dalam lubang-lubang kecil yang dijadikan tempat untuk perlindungan daripada pemangsa selain itu ikan ini juga tinggal di kawasan lopak-lopak air tanah sawah. Penggunaan jentera moden seperti jentera pembajak akan menghancurkan struktur tanah dan mengubah bentuknya yang tidak sesuai untuk sesebuah habitat utuk hidup. Perubahan ini secara tidak langsung akan memberi kesan kepada habitat tersebut yang boleh menyebabkan hidupan akuatik seperti ikan akan berkurangan. Pengurangan ini juga akan menyebabkan sesebuah ekosistem akan terancam akibat daripada perubahan bentuk kawasan  sawah padi ini. (Jamaluddin Md. Jahi, 1996)

Akhir - akhir ini, kawasan kampung saya telah menggunakan kejutan elektrik untuk menangkap ikan, penggunaan kuasa elektrik dalam menangkap ikan ini memberi dampak yang besar kepada hidupan akuatik kerana ia boleh menyebabkan kepupusan hidupan akuatik seperti ikan kecil, kerana ia akan mati dan tidak akan membiak dengan baik akibat kejutan elektrik. Hal ini akan mengganggu ekosistem kawasan tali air ini dan juga kawasan lain seperti sungai dan juga parit. Apabila masyarakat menggunakan alat  elektrik untuk menangkap ikan, hal ini menyebabkan mereka akan memperolehi hasil yang banyak tidak seperti orang yang mengunakan alat seperti pukat, jala, bubu, temila, chandit dan sebagainya. Kepupusan sumber hidupan akuatik akan berlaku akibat penggunaan alat elektrik dan sumber makanan akuatik seperti ikan haruan akan berkurangan beberapa tahun akan datang dan anak-anak  sudah pasti tidak akan dapat melihat ikan-ikan yang berada di kawasan tali air ini dan di kawasan sungai kampung Jejawi ini. Selain itu kawasan paya/alor yang berada di kawasan kampung Jejawi ini juga di teroka untuk  laluan pintas untuk sampai ke kampung lain, ini bagi memudahkan  penduduk kampung untuk keluar berurusan menghantar anak ke sekolah atau sebagainya. Hal ini juga menyebabkan pokok sagu di tebang dan menyebabkan ekosistem kawasan ini terganggu. Sebagai contohnya biasanya binatang seperti biawak akan berada di kawasan pokok sagu ini sebagai habitat atau tempat mencari makanaanya, tetapi apabila tempat mereka di teroka, ini akan menyebabkan binatang ini mencari kawasan lain untuk mendapat tempat perlindungan. Selain itu binatang ini juga akan mencari makanan di dalam kawasan kampung kerana habitat mereka di ganggu oleh manusia. Selain itu, banjir akan cepat berlaku kerana kawasan ini tidak dapat menampung air dan apabila berlakunya banjir, ini akan menyebabkan habitat atau tempat tinggal haiwan akan musnah.
Gambar 3 : keadaan tali air yang tercemar.
GAMBAR 4: Penggunaan alat elektrik untuk menangkap ikan dan belut.

5.0       Kesimpulan
Pembangunan yang pesat pada masa kini, banyak mendatangkan masalah kepada alam sekitar akibat daripada sikap manusia itu sendiri yang tidak cakna atau tidak mengurus alam sekitar. Melalui kegiatan manusia ini juga kita dapat melihat beberapa spesis hidupan aseperti ikan haruan sawah  dan sebagainya semakin terancam akibat daripada kegiatan manusia yang telah meneroka atau melakukan sesuatu yang menjejaskan habitat semulajadi ini. Keadaan ini akan menyebabkan berlakunya ganguan ekologi yang serius terutamanya di kawasan yang berdekatan dengan aktiviti manusia seperti aktiviti pertanian. Pertanian dan penerokaan kawasan hutan  yang tidak terancang ini akan menyebabkan berlakunya ketidakseimbangan ekosistem alam sekitar yang serius dikawasan terebut dan boleh menjejaskan hidupan akuatik serta ekologi amnya. Tindakan segera perlu diambil untuk menangani masalah yang sedang berlaku ini, lebih baik mencegah dari awal iaitu dengan menjalankan kerja-kerja pemuliharaan terutamanya di kawasan-kawasan yang telah dikenal pasti berlaku kerosakan dan juga gangguan ekologi. Melalui langkah-langkah yang diambil akan dapat mengurangkan gangguan terhadap ekologi dan pertanian juga dapat dilakukan secara lestari tanpa merosakkan alam sekitar.